Khamis, 5 Januari 2012

Perhubungan Kaum semasa Pendudukan Jepun di Malaysia.

Pendirian
Impak utama zaman pendudukan Jepun (1941-1945)  ialah sebagai pemangkin ketegangan kaum di Malaysia berbanding dengan zaman penjajahan Barat. Dari segi latar tempat kajian merangkumi seluruh Malaysia iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang dilihat secara umum. Segala fakta-fakta, peristiwa-peristiwa dan bukti-bukti  bahawa pendudukan Jepun memberikan impak sebagai pemangkin ketegangan kaum berbanding zaman penjajahan Barat seperti Portugis, Belanda dan British yang digariskan sebagai topik perbincangan utama. Fokus ketegangan kaum adalah diantara Orang bumiputra seperti orang Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu dan orang Melayu, Iban, Cina dan suku etnik yang lain di Sarawak manakala di Sabah mengenai orang suku-suku seperti Murut. Kadazandusun, Bajau, dengan bangsa lain.
Namun penjajahan Barat yang difokuskan dalam perbincangan ini adalah pada zaman pemerintahan British yang menjadi akar perkauman diantara para penduduk di Tanah Melayu dan begitu juga di Sabah dan Sarawak sebelum kedatangan Jepun yang menambahkan lagi masalah ini. Dasar dan kepentingan penjajahan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah berbeza disebabkan itu suasana ketegangan kaum tidak seragam dan berbeza.Pebandinngan penjajahan Barat dan penddukan Jepun jelas membuktikan impak ketegangan kaum di Malaysia yang lebih ditelitikan di Tanah Melayu dan Sarawak berbanding hanya serba sedikit tentang penjelasan ringkas di Sabah. Namun fokus lebih kepada kesan dan impak semasa Jepun kerana apa yang ditinggalkan oleh pendudukan Jepun adalah lebih teruk berbanding pada zaman pemerintahan Barat iaitu difokuskan pada pemerintahan British.


Reaksi awal penerimaan penduduk terhadap Pendudukan Jepun.
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu memperlihatkan kebangkitan kuasa Jepun dibawah pembaharuan Meiji sebagai kuasa imperialis di Asia. Penduduk tempatan melihat usaha yang cuba dibawa oleh Jepun adalah murni kerana berdasarkan slogan mereka “ Asia untuk Asia” dan “ menghapuskan Imperialisme kuasa barat”.  Pada awal kedatangan orang Jepun, orang Melayu dan  orang India menganggap kedatangan orang Jepun sebagai penyelamat dan penghalau penjajah British. Masa pendudukan dan pemerintahan Jepun di tanah Melayu dari 15 Februari 1942 hingga 15 Ogos 1945.[1]
Namun bagi orang Cina di Tanah Melayu, serangan Jepun merupakan suatu tindakbalas Jepun terhadap sikap dan tindak-tanduk Inggeris yang selama ini menyokong nasionalis Cina bagi menghalang perluasan kuasa Jepun di negeri itu.  Jepun telah melumpuhkan kegiatan-kegiatan kaum Cina di Tanah Melayu yang selama ini secara tidak langsung telah memberikan bantuan berupa kebendaan dan sokongan moral terhadap perjuangan rakan mereka menentang Jepun di negeri China.
Di Sarawak kaum pribumi seperti orang Dayak memberikan reaksi yang kurang menyenangkan dengan kedatangan orang Jepun malah mereka melakukan pekara yang menyusahkan orang Jepun, tetapi orang Melayu di Sarawak memberikan sanjungan kepada orang Jepun.  Daripada keseluruhan masyarakat di beberapa tempatan di Malaysia telah memberikan perbezaan pelbagai jenis reaksi dengan kedatangan Jepun, kebanyakan kaum bumiputra seperti orang Melayu  mereka menerima baik kedatangan Jepun. Golongan orang Iban memberikan reaksi yang kurang baik kepada Jepun, namun bagi orang Melayu dan Melanau yang beragama Islam memberikan sanjungan  yang baik terhadap Jepun dan di Sabah juga ratanya kaum pribumi akur dengan kekuatan Jepun.
Selanjutnya golongan Cina diseluruh Tanah Melayu mahupun di Sabah dan Sarawak menerima layanan buruk daripada Jepun ini kerana persengketaan China- Jepun yang memberikan rasa benci orang Jepun kepada orang Cina sehingga melakukan penindasan yang dahsyat kepada mereka. Orang Cina kurang memberikan kerjasama dengan pemerintahan Jepun, oleh itu Jepun sering kali melakukan tindakan yang keras dan membunuh orang Cina. Semasa pemerintahan Jepun, orang Cina merupakan mangsa utama orang Jepun berbanding orang India yang diterima baik oleh orang Jepun ini kerana hati dan perjuangan orang India tidak tertumpu kepada Tanah Melayu malah lebih kepada negara asal mereka.

Reaksi penerimaan penduduk awal kedatangan kuasa pemerintahan British.
British mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu, tetapi dasar British terhadap neger-negeri Melayu telah berubah menjelang tahun 1874. Penjajahan British bermula dengan kepentingan ekonomi, atas desakan dan keinginan pegawai-pegawai SHTI Inggeris mencari dan meneroka kawasan baru bagi membolehkan mereka mencapai keuntungan seperti yang telah dilakukan oleh James Brooke di Sarawak, Raffles di Singapura dan Francis Light di Pulau Pinang. Disamping itu juga selepas termaterinya Perjanjian Inggeris- Belanda 1824 menjadi titik awal kerjasama antara British dengan Belanda bagi mendorong kedua-dua kuasa ini memperkukuhan kekuasaan di Asia Tenggara. Kedatangan kuasa British yang pertama adalah di Pulau Pinang selapas Francis Light berjaya campurtangan dalam pemerintahan Sultan Abdullah.  Pulau Pinang dianggap sebagai jambatan yang dapat menghubungkan kepentingan Inggeris dengan pedagang tempatan di Kepulauan Melayu dan dijadikan tapak untuk mengembangkan pengaruh Inggeris Ke Borneo.

Dasar pemerintahan Jepun mengikut kaum dan impaknya kepada ketegangan kaum di Tanah Melayu.

Orang Cina.
Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu telah dijalankan mengikut kaum dengan berbeza-beza. Kaum Melayu dikatakan masih mengamalkan tradisi mereka sendiri, kaum India pula fokus mereka lebih kepada perjuangan di negara mereka masing dan kaum Cina pula dikaitkan sebagai anti Jepun akibat peperangan Jepun dengan China. Dalam peperangan China- Jepun pada tahun 1994-1895, Jepun telah berjaya mendapatkan Pulau Taiwan dari kekuasaan negeri China dan Jepun juga berjaya mengalahkan Rusia yang berebutkan Manchuria[2]. Hubungan orang Jepun dengan orang Melayu lebih baik dan mereka sangat berlembut dengan orang Melayu ini kerana untuk mendapatkan sokongan dan bantuan orang Melayu dalam menentang British. tetapi layanan kepada kaum Cina berlainan, Jepun melakukannya dengan kejam dan kasar. Sebagai contoh bukti kekejaman dasar pemerintahan Jepun terhadap orang Cina seperti dasar Sook Ching iaitu “ dasar pembersihan”[3]. Beribu-ribu orang Cina telah mati akibat daripada dasar tersebut. Malah tindakan kejam Jepun ini disusuli dengan perbuatan seperti merompak, membakar rumah dan kampung, mengambil barang-barang orang Cina, memeras hasil orang cina, merogol gadis-gadis cina dan sebagainya. Kempen pembersihan ini dijalankan selepas Ibu Pejabat Tentera ke-25 mengeluarkan perintah pada 17 Febuari 1942[4].
Sebenarnya tindakan ini telah dirancang oleh Lt. Kolonel Tsuji dan diaksanakan oelh pasukan kempeitei yang dipimpin oleh Kawamura Oishi[5]. Tindakan ini telah diambil oleh pentadbiran orang Jepun kerana mereka ingin mengekalkan keamanan dan mereka berpendapat kemungkinan besar orang Cina akan mengangkat senjata menentang askar Jepun secara gerila. Golongan Cina yang menjadi mangsa termasuklah penyokong aktif golongan  Kuomintang, ponyokong komunis terutamanya suku Hainan, ahli pasukan sukarela Tan Kah Kee yang menjadi ketua Tabung Bantuan Cina dan pengikutnya pendatang Cina anti Jepun. Hanya menjelang March 1943 Jepun telah menghentikan Operasi Sook Ching kerana orang Cina diperlukan untuk memulihkan kegiatan ekonomi semula.

Orang India.
Bagi masyarakat India di Tanah Melayu pula mereka menerima layanan yang lebih baik daripada jika dibandingkan dengan orang Cina. Sebagai contoh sebelum peperangan tercetus lagi, orang buangan India ke Jepun telah memiliki hubungan terus kepada kerajaan Jepun. Dengan itu Jepun telah bekerjasama dengan ahli-ahli politik India dalam usaha mereka untuk menawan India iaitu melalui penubuhan Tentera Kebangsaan India dan Liga Kemerdekaan India[6].

Orang Melayu.
            Layanan Jepun terhadap orang Melayu dengan memberikan lebih keutamaan kepada mereka dalam mendapat peluang pekerjaan dan polisi yang dibuat oleh pentadbiran dan pemerintahan Jepun lebih memihak kepada orang Melayu. Orang Melayu didefinisikan sebagai berbangsa Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu dan beragama Islam. Golongan orang Melayu yang mempunyai hubungan baik dengan Jepun terbahagi kepada tiga golongan iaitu Sultan dan kaum kerabatnya yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Seterusnya golongan kedua merupakan golongan ahli ulama agama yang memainkan peranan penting dalam mengajarkan agama Islam, oleh Jepun beranggapan dengan mengiktraf agama Islam merupakan jalan yang terbaik dalam mendekati masyarakat Melayu. Malah Jepun pernah menaja sebuah seminar agama yang berlansung tiga  di Singapura pada April 1943[7] .  Golongan yang ketiga yang mempunyai hubungan baik dengan Jepun adalah pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan pentadbiran Jepun. Sebuah organisasi yang pada awal adalah pro kepada Jepun iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) sejak sebelum peperangan lagi tercetus. Para pemimpin Melayu yang terlibat seperti Ibrahim Yaaacob, Onan Haji Siraj dan Ishak Haji Muhammad. Namun  Kesatuan Melayu Muda telah diharamkan oleh Jepun pada Jun 1942 kerana tidak mematuhi nasihat daripada kerajaan Jepun.[8]
Polisi yang digunakan oleh Jepun terhadap orang Melayu mempunyai kepentingan kepada orang Jepun kerana orang Melayu senang digunakan sebagai penggerak pro-paganda Jepun di Tanah Melayu. Sehubungan dengan itu kemungkinan besar jumlah orang Melayu berkhidmat dalam pentadbiran Jepun samaada menjadi pengawai tabir atau berkhidmat dalam ketenteraan juga.  Dalam bidang politik Jepun sesungguhnya berharap dapat menyatukan pentadbiran Tanah Melayu dengan Sumatera menerusi ibu pejabat mereka di Singapura, tujuannya adalah kerana ingin menyatupadukan dan memperkuatkan pengaruh orang-orang Melayu.

Dasar pemerintahan Jepun mengikut kaum dan impaknya kepada ketegangan kaum di Sarawak dan Sabah.

Orang Iban
Dasar pemerintahan Jepun di Sarawak adalah berbeza terutamanya adalah orang Iban dimana kehidupan mereka telah diperas sebagai buruh kasar, memaksa mereka memberikan beras dan makanan dan juga menyerahkan senjata api mereka yang selama ini digunakan oelh orang Iban untuk berburu[9]. Nasib orang Iban khasnya telah mendapat layanan buruk daripada jepun apabila mereka dikerah menjadi buruh, hasilan daripada sawah padi yang mereka keluarkan diberikan kepada Jepun dan juga para pemuda dikerah untuk terlibat dalam ketenteraan. Bukan itu sahaja, di Lawas juga para kaum pri-bumi juga dikerah untuk mengeluarkan beras kepada Jepun. Di Saribas pula orang Iban lagi merana apabila Jepun merampas pakaian mereka dan bekalan beras[10]. Disamping itu juga, kaum-kaum pribum laini dijadikan Jepun sebagai buruh kasar yang dibebani tugas yang berat dan menyakitkan

Orang Melayu
Namun bagi orang Melayu mereka diberikan peluang yang lebih baik daripada kaum lain di Sarawak kerana mereka diberikan peluang bekerja dengan pentadbiran Jepun seperti memasuki polis. Orang Melayu memilih jalan ini kerana untuk mencari rezeki untuk menampung hidup terutamanya keluarga mereka. Jepun telah dilaporkan pernah memberikan bekalan beras percuma kepada keluarga orang Melayu di sekitar Sibu. Orang Melayu digunakan oleh Jepun untuk membawa propaganda mereka kepada masyarakat di Sarawak, oleh itu layan yang baik diberikan kepada mereka kerana Jepun mengharapkan kerjasama daripada orang Melayu. Namun propaganda Jepun di  Sarawak gagal kerana kaum pribumi yang buta huruf dan mereka tidak berminat terlibat dalam ideologi politik Jepun.

Orang Cina
Orang Cina di Sarawak juga mengalami kesulitan apabila Jepun mengamalkan sikap mengawal pengeluaran makanan dan barangan yang lain. Pada 1942 pentadbiran Jepun telah memerintahkan sebuah kedai akan dikawal oleh Jabatan pemerintah Jepun, kedai tersebut dinamakan sebagai Soon Teck Kongsi[11]. Orang Cina yang bekerja sebagai usahawan di Bandar harulah bekerjasama denga Jepun dan golongan yang menjadi petani harus memberikan hasilan pertanian mereka kepada Jepun. Pada 8 Disember 1941 penyerangan pertama Jepun di Tanah Melayu yang bermula di Kelantan dan menjelang 15 Febuari 1942 seluruh pentadbiran British di Tanah Melayu dan Singapura telah menyerahkan diri[12].Di Sarawak pula Jepun telah mendaratkan seramai 10,000 tenteranya di Miri pada 26 Disember, manakala Kuching telah jatuh kepada tangan Jepun pada 25 Disember[13].  Situasi di Sabah pula, Jesselton telah ditaklui oleh Jepun pada 6 Januari dan Sandakan juga akhirnya dikuasai pada 16 Januari
Sebagai kesimpulannya, pemisahan kaum melalui pekerjaan dan ketidakan seimbangan polisi memberikan rasa prejudis terutamanya orang Iban terhadap orang Melayu yang diberikan layanan baik dariapda Jepun. Begitu juga rasa prejudis orang Cina kepada orang Iban dan Orang Melayu yang berkhidmat sebagai polis yang mengawal pengeluaran makanan dan barangan yang dikawal oleh orang Jepun. Di Sabah pula, keadaan geopolitik yang hampir sama juga digunakan Jepun untuk kaum pribumi disana.

Dasar pemerintahan Barat (British) mengikut kaum dan impaknya kepada ketegangan kaum di Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.

Kedatangan kuasa Barat diterima baik oleh para pembesar seperti Sultan- Sultan Melayu kerana ini merupakan permintaan mereka sendiri atas masalah dalaman di negeri jajahan. Di Sarawak, kedatangan James Brooke atas permintaan para pembesar tempatan Kesultanan Brunei bagi menyelesaikan masalah lanun dan di Sabah pula, hanya selepas Sabah atau dikenali sebagai Borneo Utara diserahkan oleh Sultan Brunei, Abdul Mumin kepada Gustavus Baron Von Overbeck pada 19 Disember 1877[14] . Dalam memenuhi permintaan buruh di bidang perlombongan dan pertanian, British telah membawa masuk orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu sebagai buruh. Walaupun ada juga sebab-sebab lain kemasukan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu namun pengkaji melihat kemasukan tenaga buruh asing merupakan alasan yang lebih dominan untuk dibincangkan. Kemasukan mereka ini telah menwujudkan masyarakat majmuk. Dasar pemerintah yang mengamalkan dasar pecah perintah dalam pembahagian bidang pekerjaan dan sistem pendidikan venukuler merupakan antara pencetus utama sikap perkauman dan prejudis dikalangan golongan masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu.
Perlaksanaan dasar pecah dan perintah oleh British telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Kerajaan British telah mentadbir penduduk Bumiputera dan imigran secara berasingan. Dasar ini dikenali sebagai sistem pecah dan perintah. Bagi melemahkan kaum bumiputra, British memberikan keutamaan kepada imgran seperti Orang Cina dan Orang India dan sekaligus memisahkan mereka dalam jenis pekerjaan dan penempatan. Penduduk Bumiputra atau orang Melayu disisih dari kegiatan ekonomi komersial yang diwujudkan dan orang Melayu hanya bekerja sebagai petani sahaja. Bagi orang Cina mereka menjadi buruh di lombong dan orang India bekerja di perladangan. Dalam pendidikan juga terbahagi kepada berlainan jenis pendidikan seperti Orang Melayu lebih kepada sekolah pondok, Orang Cina lebih kepada sistem pendidikan Cina dan Orang India mendapatkan pendidikan di estet dengan sistem sukatan juga dari India. Tiada keseragaman pendidikan membataskan lagi interaksi kaum.
Namun bagi Sarawak pemerintahan Brooke lebih kepada pro bumiputra dan tidak mengalakkan kegiatan ekonomi berbentuk komersial menyebabkan suasana berbeza, oleh itu dasar pecah perintah tidak begitu jelas memberikan kesan dan bagi Sabah hal yang sedemikan juga sama dengan di Sarawak. Semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke mengamalkan dasar anti-getah dengan menghadkan konsesi tanah kepada pemodal Eropah dan Cina untuk perladangan getah.Sebaliknya Brooke menegaskan usaha mempergiatkan tanaman makanan padi dan sagu. Dan tanaman sampingan seperti getah hanya diusahakan sebagai sampingan iaitu secara kecil dibawah usaha sama seisi keluarga sahaja.  Layanan Brooke kepada orang Iban, orang Melayu adalah baik. Namun bagi orang Cina, Brooke tidak beberapa suka kepada orang Cina  kerana menguasai ekonomi tempatan dan setelah satu pemberontakan orang Cina, Bau iaitu seramai 600 orang di Kuching pada 18 Februari 1857 yang merancang untuk mengulingkan beliau[15].Namun pemberontakan orang Cina ini dapat dipatahkan kerana bantuan orang Iban dari Skrang dan orang Melayu yang memihak kepada Brooke[16].

Kesimpulan
 Pendudukan Jepun selama tiga tahun telah banyak memberikan banyak impak kepada masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada ketika itu, ketegangan kaum merupakan major utama masalah di seluruh Malaysia pada ketika itu. Lebih-lebih lagi cara layanan terhadap setiap kaum oleh Jepun menggunakan  cara yang berbeza dan mempunyai kepentingan yang berlain. Tindakan pemerintahan Jepun ini bukan sahaja memberikan semangat anti perkauman yang semakin tegang malah dari segi perasan curiga dengan satu kaum dengan yang lain makin menebal. Pemerintahan British hanya membenihkan perkauman sahaja, namun kedatangan Jepun telah memburukan lagi sifat prejudis dan perkauman. Waktu pendudukan Jepun merupakan kemuncak ketengangan perkauman di Malaysia, dan kesan-kesan masih dapat dirasai sehingga kini dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.



[1] Lotfi Ismail. Sejarah Malaysia 1400-1963, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur.1975. ms. 238
[2] Lotfi Ismail. Sejarah Malaysia 1400-1963, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur,1975. ms. 232
[3]  Mohamad Isa Othman. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945(Tumpunan di Negeri Kedah), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1992. ms 102

[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Mohamad Isa Othman. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945(Tumpunan di Negeri Kedah), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1992. ms 104

[7] Paul H. Kratoska. The Japanese Occupation of Malaya 1941-1945, A Social and Economic History,St. Leonards Allen and Unwin., Landon.1998. ms 110
[8] Ibid, ms 109
[9] Ooi Keat Gin. Rising Sun Over Borneo: The Impact of Japanese Policies on Sarawak’s Inhabitants, St. Martin’s Press, Landon. 1999. ms 70

[10] Ibid, ms 72
[11] Ibid, ms 73
[12]N.J. Ryan. A History of Malaysia and Singapore, Oxford University Press, Kuala Lumpur. 1976. ms 248

[13] Ibid
[14] D.S. Ranjit Singh. The Making of Sabah 1865-1941: The Dynamics of Indigenous Society. Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1937. ms 3
[15] John M.Chin. The Sarawak Chinese. Oxford  University Press, Melbourne. 1981. Ms 35
[16] Ibid, ms 36

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ti dikerinduka