Jumaat, 10 September 2010

NILAIKAN KEPERIPENTINGAN SRIVIJAYA DALAM KONTEKS SEJARAH MALAYSIA SEBELUM PENJAJAHAN BARAT.

1.Latarbelakang dan Kemunculan
            Menjelang akhir abad ketujuh Masihi, Srivijaya merupakan sebuah kerajaan Melayu di Kepulauan Asia Tenggara yang terletak di Sumatera. Menurut pendapat Van Ronkel yang mengemukan teori bahawa pada tarikh Syaka 604/ 683 ilah Srivijaya telah didirikan.[1] Kerajaan Srivijaya telah dipengaruhi oleh kebudayaan India terutamanya agama Buddha. Palembang merupakan ibu kota negeri kerajaan Srivijaya yang dikenali sebagai kerajaan laut atau thalassocracy[2].
Kemunculan kerajaan Srivijaya adalah bertitik tolak daripada perpecahan empayar Funan kerana cengkaman kuasa yang kuat ke atas perniagaan antara India dengan China telah menjadi longgar dan memberi peluang kepada pusat-pusat perniagaan di selatan[3]. Jalan laut Selat Melaka telah digunakan dengan lebih kerap lagi berbanding jalan di Segenting Kra semasa kekuasaan Funan. Hal ini telah membawa kepada bangkitnya pelabuhan-pelabuhan di kawsan pendalaman. Pada kurun ke-7 di Sumatera terdapat dua buah negeri yang mendapat kekuasaan daripada perdagangan di Selat Melaka iaitu Jambi dan Srivijaya di Palembang. Ternyata Srivijaya merupakan kerajaan maritim yang menguasai lalu-lintas pelayaran dan perdagangan internasional selama berabad-abad. Keadaan geografi Palembang lebih kepada tanah paya dan tidak subur, oleh itu kuasanya tidak berdasarkan penghasilan pertanian yang tetap dan eksport tetapi lebih kepada kekuatan kelautannya iaitu terletak 70 batu di hulu Sungai Palembang yang tidak subur dan tidak ramai penduduk. Kerajaan Srivijaya mengamalkan dasar monopoli kerana ia cuba membatasi segala saingan dalam wilayah pengaruhnya dan mengenakan cukai yang tinggi kepada saudagar-saudagar yang berdagang dengannya. Tarikh kebangkitan kerajaan Srivijaya merujuk kepada batu bersurat adalah pada sekitar 683-686 Masihi. Empayar Srivijaya telah meluas dengan penaklukan negeri-negeri Melayu iaitu hingga ke sepanjang pantai timur Pulau Sumantera dan meluas  ke seberang selat hingga ke Semenanjung Tanah Melayu. Luas Empayar Srivijaya tidak dapat dipastikan tetapi merujuk kepada batu bersurat di Ligor yang menjadi bukti bahawa kekuasaan Srivijaya telah sampai ke Ligor. Namun ada juga mengatakan pada abad ke-8 kuasa Srivijaya melingkungi hampir-hampir seluruh Tanah Melayu dan pada abad ke-11 ia telah menguasai pesisir timur Sumatera, bahagian barat pulau Jawa, Tanah Melayu dan bahagian barat daya pulau Kalimantan[4].   
Srivijaya telah mengadakan hubungan perdagangan dengan China untuk menguasai perdagangan China. Pada permulaan Srivijaya diperintah oleh raja-raja dari keturunan Wangsa Sailendra sebagai contoh, Balaputradewa dari keturunan Sailender Jawa. Menurut pandangan sarjana Belanda amnya dan Krom khasnya dinasti Sailendra sejak awal lagi telah memerintah di Srivijaya[5]. Dinasti ini berasal dari Jawa dan gelaran nama Sailendra bererti Raja-raja Gunung yang mula digunakan oleh Maharaja-Maharaja Funan[6]. Seorang Sarjana Perancis iaitu George Coedes telah menemui Kerajaan Srivijaya pada tahun 1918 melalui karangnya yang terkenal, Le Royaume de Crivijaya.[7] Beberapa bukti sejarah juga telah mencatatkan kegemilangan Srivijya misalnya menurut Coedes sumber dari Arab yang disebut sebagai Sarbaza atau Sribuzza di negeri Maharaja Zabej oleh penulis Arab dan sumber dari China juga mengatakan sebagai Che-li-fo-che dan San-fo-tsi merupakan Srivijaya[8].
2. Keperipentingan Kerajaan Srivijaya dari segi politik.
2.1 Warisan Kerajaan Melayu
            Kerajaan Srivijaya merupakan adalah warisan kerajaan Melayu, yang bertitik tolak dari kerajaan Funan yang terletak di tengah-tengah Lembangan Menam dan negeri- negeri di Tanah Melayu dibawah kuasanya. Semasa kerajaan Funan, Sgenting Kera digunakan sebagai jalan perhubungan antarabangsa dalam perdagangan. Pada kurun keenam empayar ini mula lemah dan negeri-negeri di bawahnya mula berkembang seperti di Sumatera dan Jawa. Menjelang kurun ketujuh Srivijaya telah bangkit sebagai sebuah kerajaan yang kuat. Kekuatan Srivijaya terletak pada perdagangannya di Selat Melaka dan Srivijaya telah berjaya menaklok negeri Melayu oleh itu kuasanya dapat diluaskan sepanjang pantai timur, Pulau Sumatera. Palembang merupakan ibu negeri Srivijaya. Dalam konteks sejarah Kesultanan Melayu Melaka berasaskan konsep daulat dan derhaka yang dibuat oleh Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana dimeterai di Palembang. Seri Teri Buana tinggal di Palembang[9], seorang raja sepertinya sudah semestinya tinggal ditempat yang penting dan berfungsi sebagai pusat aktiviti perdagangan. Kerajaan Srivijaya adalah penting dalam konteks sejarah Malaysia hari ini kerana waad yang dimeterai itu merupakan asas pembentukan kerajaan Melayu. Sehingga sekarang masyarakat masih menghormati raja mereka dengan dalam budaya mereka masih berfikiran sebegitu. Di samping itu juga dalam sistem pentadbiran raja diletakan sebagai pemerintahan tertinggi pada zaman Srivijaya seperti diwarisi oleh kerajaan Melaka sehingga  zaman kita sekarang dimana raja sebagai lambang kebesaran negara kita. Pada zaman kerajaan Srivijaya telah dipengaruhi oleh agama Buddha oleh itu raja dianggap sebagai utusan Tuhan. Warisan Srivijaya diwarisinya daripada kerajaan kecil yang lebih awal dan begitu juga Melaka kemudiannya mewarisi tradisi Srivijaya.[10]  Sehubungan itu kelompok Melayu ada yang mengaitkan Bukit Si Guntang di Srivijaya dengan sistem perajaan Melayu. Dalam sejarah Kedah, Kedah adalah merupakan tempat yang penting dalam empayar Srivijaya ini kerana Kedah berkait rapat dengan Funan, Langkasuka dan kemudiannya Srivijaya. Kedah pernah di bawah kuasa Funan namun akhirnya jatuh ke tangan politik  Srivijaya. Namun seerang Chola telah memusnahkan Kedah dan mengalami kemunduran. Kebesaran Kedah tidak begitu memainkan peranan dalam sejarah Malayisa namun terdapat kisah raja Bersiung yang menjadi cerita rakyat tempatan. Dalam catatan I-ching beliau pernah menulis tentang Kedah, mengikut pendapat seorang tokoh iaitu Wheatley, I-ching bertolak dari Kedah menumpang kapal raja ( Kedah/ Srivijaya) pada awal tahun 673 setelah setahun lamanya meninggalkan Canton[11]. Dalam Sejarah Melayu juga mengatakan pengasas kerajaan Melayu Melaka berasal dari Palembang iaitu Iskandar Syah. Iskandar Syah atau Parameswara merupakan anak daripada perkahwinan Raja Palembang dengan Puteri diraja Majapahit. Sistem pemerintahan Srivijaya diwarisi oleh kerajaan selepas Melaka seperti Johor dan Brunei. Walaupun kemasukan agama Islam pada kurun ke-15, namun pengaruh warisan Srivijaya seperti agama Hindu Buddha kelihatan jelas pada sistem perajaan misalnya dalam adat istiadat pelantikan sultan di Perak dan watiakh pelantikan pembesar di Brunei.
2.2 Menbina hubungan diplomatik yang diwarisi hingga kerajaan Melayu Melaka
            Dalam hubungan diplomatik Srivijaya telah menjalinkan hubungan dengan negara China. Perhubungan rantau nusantara dengan negara China sememangnya telah terbentuk sebelum empayar Srivijaya lagi, semasa empayar Srivijaya hubungan diplomatik ini dalam bentuk perdagangan. Kemunculan Srivijaya berkait rapat dengan rentak perdagangan China di Tanah Melayu. Srivijaya bermula dengan satu unit politik yang kecil namun pada abab ke tujuh berubah kepada empayar kerana perhubungan dagang dengan China. Sistem Ufti yang digunakan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dan sistem ini berkekalan hingga ke kurun kesebelas. Kedudukan Srivijaya semakin kukuh menjelang 900 masihi di Asia Tenggara yang tidak dapat ditentang lagi[12]. Untuk mengukuhkan lagi perhubungan diplomatik ini Srivijaya telah menghantar utusan-utusan yang dihantar tetap ke negeri China. Utusan-utusan ini membawa pelbagai jenis bingkisan demi untuk mencapai persahabatan yang rapat dengan China kerena kepentingan untuk menguasai perdagangan China. Hubungan baik dengan China ini telah diteruskan oleh Melaka selepas kejatuhan Srivijaya. Hubungan Srivijaya dengan China terputus kerana perperangan yang berlaku dengan Jawa pada tahun 991 dengan tahun 992 menyebabkan perhubungan laut tersekat. Hubungan dengan China diteruskan pada zaman Melaka, sebagai contoh pada tahun 1430 China telah menjadi pelindung Melaka dari kuasa Siam. Kuasa China sangat digeruni kerana mempunyai angkatan tentera yang besar dan kuat oleh itu pengaruh China sangat besar. Pada tahun  990an Dhramavansa iaitu Raja Jawa Timur telah melancarkan serangan kepada Srivijaya namun usahanya gagal, Srivijaya telah mematahkan serangan itu. Raja tersebut telah dibunuh dan kerajaannya dikalahkan, oleh hal sedemikian  kedudukan Srivijaya semakin terjamin di kepulauan Melayu.
            Hubungan diplomatik Srivijaya dengan India juga sudah lama terjalin terutamanya dengan kerajaan Chola pada ketika itu. Hubungan kedua-kedua buah kerajaan ini lebih berbentuk kepada perdagangan. Kerajaan Jawa pada pemerintahan Dharamawangsha telah melancarkan serangan ke atas Srivijaya. Sehubungan denga itu Srivijiya telah memperkukuhkan perhubungan politiknya dengan India Selatan (Chola). Utusan telah dihantar kepada negeri China oleh Raja Srivijaya iaitu Sri Chudamani Warna Dewa pada tahun 1003. Srivijaya mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kerajaan China dan India untuk mendapatkan perlindungan dan untuk menuntut balas terhadap serang Jawa pada 991 sehingga 992[13] . Namun keadaan politik dengan kerajaan Chola semakin teruk akibat dasar perniagaan Srivijaya merugikan perdagangan laut negeri Chola dengan negeri China. Akhirnya Rajendra Chola telah menyerang secara tiba-tiba bandar Srivijaya di Sumatera dan di Tanah Semenanjung Malaysia pada tahun 1025. Srivijaya telah dibelasah teruk dengan ibu kotanya hancur dan Sri Wijaya Ottungga ditangkap, dengan kesempatan ini telah membuka jalan kepada Jawa Timur bangkit yang dibawah pimpinan Airlangga menguasai Srivijaya. Hubungan diplomatik yang dimulai oleh Srivijaya penting untuk membuka jalan persahabatan ke India dan China yang diwaris kerajaan Melaka dan kerajaan Brunei yang terus bersahabat baik dengan China dan India dalam hubungan diplomatik.
2.3 Perluasan kuasa Srivijaya.
            Srivijaya merupakan kerajaan maritim yang berasaskan kekuatan perairan lautan terutamanya di selat Melaka. Srivijaya mencapai kemuncak kejayaannya pada abad kesembilan dengan abad kesebelas yang dibawah dinasti Sailendra. Mengikut teori Wheatley dearah taklukan Srivijaya iaitu meliputi pantai barat Burma Tenggara, Segenting Kra dan Tanah Semenanjung Malaysia. Tentera-tentera laut Srivijaya mengawal lalulintas Selat Melaka dan di selat-selat yang penting antara Sumantera, Tanah Semenanjung Malaysia dan Borneo, Laut China Selatan hingga ke Teluk Siam. Kapal-kapal yang berlayar sekitar luar selat dan dikawasan perairannya dipaksa singgah di bandar-bandar bawah pemerintahannya. Kebolehan Srivijaya menguasai perairan laut dan kecekapan tenteranya telah menbawa kejayaan kepada Srivijaya sebagai sebuah empayar yang kuat. Kekuatan empayar ini sememangnya terletak pada kekuatan perairannya atau dikenali sebagai thalassocracy. Selepas kejatuhan Srivijaya, kerajaan Melaka dan Kerajaan Brunei juga berasaskan kekuatan perairan dan perdagangan seperti diwarisi dari Srivijaya. Srivijaya berniaga dengan  negeri Melayu (Jambi), kedah, India Barat Daya dan dengan negeri China Selatan. Kerajaan Srivijaya penting kerana dasar asas kekuatan mereka seperti kekuatan perairan dan perdagangan dan ini telah diwarisi kerajaan yang seterusnya seperti di Melaka dan di Brunei untuk membina asas empayar yang agung. Di kerajaan Melaka berasal dari pelabuhan yang kecil yang strategik yang akhirnya menjadi kerajaan yang kuat dan pelabuhan antarabangsa. Perairan selat Melaka yang terlindung dengan angin monsun, dalam dan laluan timur barat telah memberi potensi Melaka menjadi empayar agung. Di Brunei juga tempat menjadi persinggahan para pedagang dan menjadi tempat pelabuhan. Asas kekuatan empayar ini adalah dari perairan seperti yang diwarsi dari Srivijaya. Walau bagaimanapun Srivijaya tidak pernah cuba untuk meluaskan kawasan empayar, sebagai contoh di Sumatera luas kawasannya hanya beberapa batu saja dari pinggir laut. Kerajaan Brunei pernah menjadi vasal Srivijaya oleh itu Brunei menghantar ufti kepada Srivijaya. Brunei berfungsi sebagai tempat mengawal perdagangan Srivijaya yang dikawal oleh seorang raja ditempatkan di kawasan di utara Borneo hingga ke Filipina. Brunei juga menjadi pembekal hasil hutan, emas dan kapur barus kepada Srivijaya. Brunei telah merdeka dari Srivijaya selepas kemerosotan Srivijaya dan jatuh kepada tangan Majapahit selepas tahun 1365.
3.Keperipentingan Kerajaan Srivijaya dari segi ekonomi.
3.1 Pelabuhan entrepot dan kedudukan yang strategik.
Empayar Srivijaya berada di kedudukan yang strategik iaitu dilindungi oleh tiupan angin monson dan berada di kawasan selat Melaka yang menjadi laluan perhubungan utama timur dan barat. Perdagangan merupakan nadi utama Srivijaya. Perdagangan antarabangsa di Srivijaya di bahagikan kepada lapisan iaitu yang pertama entrepot utama Palembang, seterusnya entrepot wilayah seperti di Takuapa, Chaiya, Kuala Kedah, Sungai Emas di Lembah Bujang, Melayu-Jambi, Lampung, Kota China, Kampar, Barus dan Lamburi dan pelabuhan-pelabuhan kecil seperti di Pulau Tioman dan Jenderam Hilir. Palembang sebagai pusat perdagangan empayar Srivijaya yang menjadi tumpuan. Perdagangan di Srivijaya sangat pesat kerana Srivijaya sebagai tempat pengumpulan barang dagangan seperti wangi-wangian dan rempah ratus yang sangat diperlukan. Sebagai contoh Pulau Kalah merupakan sebuah bandar penting yang dalam abad ke-10 M kerana para saudagar-saudagar ingin mendapatkan bekalan bijih timah, gading gajah, kapur barus, rempah ratus dan kayu cendana. Kesemua bahan-bahan ini mudah didapatkan di empayar Srivijaya kerana hasil-hasil bumi ini terdapat di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Maluku dan Kepulauan Nusantara Tenggara. Peribadi Srivijaya sebagai pelabuhan yang entrepot, diwarisi Melaka dan Brunei yang sebagai tempat mengumpul barang dan memasarkan barang tersebut. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.
3.2 Sistem Cukai
Tentera laut yang besar mengawal perairan di Selat Melaka, dan selat-selat di Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, dan Borneo di Laut China Selatan hingga ke Teluk Siam. Sriviajya akan memaksa setiap kapal-kapal yang belayar di kawasan perairannya untuk singgah di bandar-bandar takluknya. Kerajaan Srivijaya mengamalkan dasar monopoli kerana ia cuba membatasi segala saingan dalam wilayah pengaruhnya dan mengenakan cukai yang tinggi kepada saudagar-saudagar yang berdagang dengannya. Seorang tokoh berpendapat iaitu Dr. Pierre Yves Manguin : “ Srivijaya menggunkan kapal-kapal besar dalam jalur perdagangan di Samudera Hindia dan Laut Selatan[14]. Dasar ini banyak memberi ke untungan kerana Srivijaya dapat memungut ufti dan cukai sama ada kapal yang melalui Selat melaka atau negeri taklukan dan naungannya.
4. Keperipentingan Kerajaan Srivijaya dari segi sosiobudaya.
4.1 Bahasa Melayu
            Dari segi pengaruh budaya empayar Srivijaya sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam, misalnya dari segi bahasa dan agama. Dari Segi bahasa terdapat beberapa bukit melalui batu bersurat yang bertarikh 683 S.M, 684 S.M dan 686 S.M yang mencatatkan isi-isi penting tentang kenaikan kerajaan Srivijaya. Keempat-keempat batu bersurat seperti Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapur dan Karang Brahi itu dijumpai di pusat kerajaan Srivijaya dan isinya jelas menunjukkan bahawa tulisan itu dibuat atas perintah raja. Bahasa Melayu digunakan menjadi bahasa rasmi sebuah kerajaan yang besar dan luas yang meliputi nusantara. Walaupun pengaruh agama Hindu Buddha kuat namun tidak menyingkirkan status bahasa Melayu malah digunakan sebagai bahasa untuk kegitaan pentadbiran, perdagangan, dan perhubungan umum. Bahasa sanskrit hanya digunakan dalam bahasa agama, bahasa melayu terus menjadi lingua franca. Namun bahasa sanskrit telah mempengaruhi bahasa Melayu sedikit sebanyak seperti penggunaan kata “ sastera, raja, negara, perdana, upacara” sebagai contohnya. Dalam zaman keagungan Melaka dan kesultanan Melayu Brunei bahasa Melayu juga menjadi lingua franca  dan menjadi bahasa yang penting.
4.2 Agama
            Srivijaya dipengaruhi oleh agama Buddha iaitu aliran Hinayana dan Mahayana.  Srivijaya menjadi pusat agama dimana, Raja Srivijaya menyediakan tempat kediaman bagi penuntut-penuntut yang belajar di Nalanda. Disamping itu juga Raja Srivijya juga telah mendapatkan izin Maharaja Chola membina kuil Buddha dibandar perlabuhan Nagapatnam. Seorang yang berasal dari China, I-Ching juga telah menetap di ibu negeri Srivijaya selama empat tahun untuk menyalin dan memterjemahkan buku-buku agama Buddha dari bahasa Sanskrit ke bahasa Cina. Oleh hal sedemikian Srivijaya merupakan pusat penyebaran agama Buddha yang penting di rantau Asia Tenggara.
5.Penutup
5.1 Kejatuhan Srivijaya
Sebagai kesimpulan kerajaan Srivijaya sangat terkenal dan kuat sehingga selat Melaka yang menjadi jalan perhubungan antarabangsa timur barat dibawah kuasanya dan mempunyai hubungan diplomatik dengan China, . Sebuah kerajaan di India terasa tercabar dengan kekuatan empayar Srivijaya yang mempunyai kawasan perairan yang luas, oleh itu kerajaan Chola telah menyerang pada tahun 1025 ke Palembang dan kawasan sekitarnya. Namun kerajaan Srivijaya masih dapat bertahan walaupun diserang teruk oleh Chola dan Srivijaya muncul dengan pusatnya yang baru di Jambi. Keadaan di Jambi jauh berbeza, Jambi terus berada dalam keadaan longlai akibat kegagalan maharaja-maharaja wangsa Sung yang menghidupkan semula sistem ufti selama 250 tahun dan Jawa telah keluara dari Srivijaya serta menubuhkan pusat-pusat perdagangannya sendiri. Ditambahkan lagi dengan kebangkitan empayar di Siam utara dan empayar  Majahpahit . Dan akhirnya empayar Srivijaya jatuh pada kurun ke 13 kepada Majapahit.
5.2 Kemasukan pengaruh Barat
Warisan Kerajaan Srivijaya diteruskan oleh Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah  Portugis pada 1511 oleh Alfonso de Albuquerque. Warisan Srivijaya diteruskan oleh Kesultanan Brunei, yang pernah ditakluk empayar  Srivijaya yang berpusat di Sumatra pada awal abad ke-sembilan Masehi dan seterusnya menguasai Borneo utara dan gugusan kepulauan Filipina. Kedatangan James Brooke dengan kapalnya “ Royalist” yang meninggalkan Singapura pada 27 Julai 1839 belayar menuju Broneo. James Brooke telah membantu Brunei menghapsukan lanun di Sarawak oleh itu sedikit demi sedikit Sarawak diberikan kepada Brooke sebagi habuan. Warisan Srivijaya seperti kerajaan Melaka dan kerajaan Brunei telah jatuh kepada penjajah barat iaitu Portugis di Melaka dan keluarga Brooke di kawasan jajahan Brunei. Kesultanan Brunei hanya menjadi secebisan kecil saja hari ini, namun Brunei berjaya mempertahankan kesultanannya daripada jatuh terus kepada penjajahan barat berbanding Melaka dikuasai penuh oleh penjajahan barat. Majoriti perajaan dan budaya dari Srivijaya sekarang mempunyai kesinambungan dari turun temurun dalam  sejarah Malaysia.













[1] Mohd.Dahlan Mansoer. Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1975, m.s 72
[2] Wheatley,P. “ The Golden Khersonese”,(GK)  Studies in the historical Geography of Malay Peninsula Before A.D 1500”, U.M.P., K.Lumpur, 1996, m.s.298-300
[3] S. Arasaratnam. (Empayar Seri Vijaya), Sejarah Malaysia Sa-pintas Lalu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1972.MS 15.
[4] Lotfi Ismail. Sejarah Malaysia 1400-1963. Utusan Melayu, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, 1975. m.s 8
[5] Mohd.Dahlan Mansoer. Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1975, m.s 88

[6] HJG, ms.135, ISSA m.s 89.
[7] George Coedes, “Le Royaume de Crivijaya”, BEFEO, tome XVIII,  1918, hh. 1-36
[8] Krom, N.J., “ Hindoe- Javaansche Geschiedenis’ (HJG) atau Sejarah Hindu-Jawa,’s Gravenhage, 1931,m.s.112
[9] Abdul Rahman Haji Ismail. Sejarah Melayu.The Malaysia Branch of the Royal Asiatic Society,1998, m.s. 88.
[10] Abdul Rahman Haji Ismail. Malaysia Sejarah Kenegaraan dan Politik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,2005,m.s.19
[11] Mohd. Dahlan Mansoer.Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Dewan Budaya dan Pustaka,KualaLumpur
[12] S. Arasaratnam. (Empayar Seri Vijaya), Sejarah Malaysia Sa-pintas Lalu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1972.MS 16.
[13] Mohd. Dahlan Mansoer.Pengantar Sejarah Nusantara Awal. Dewan Budaya dan Pustaka,KualaLumpur. m.s  126
[14] Nia Kurnia Sholihat Ifran. Kerajaan Sriwijaya. Griimukti Pasaka. Jakarta. 1983.ms 66.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ti dikerinduka